Wednesday, June 1, 2011

semua orang teringin nak jadi famous. tapi aku taklah sampai nak mengaku dah tak ada dara semata nak dapat recognition ciput

Bukan mimpi

Empat bersaudara seronok berkunjung ke Manchester

Oleh
Nurul 'Ain Razali, Berita Harian (Singapura)

SEMBILAN bulan lamanya beliau mencuba tetapi setiap kali jawapan yang diterima amat mengecewakan.

Namun, tuah badan siapa yang tahu!

Tanpa disangka, Encik Muhammad Tarmizi Sarhid, 24 tahun, memenangi hadiah lawatan ke Manchester, United Kingdom, yang membolehkan peminat bola ini menyaksikan pasukan kegemarannya, Manchester United, menentang Blackpool dalam perlawanan akhir Liga Perdana England.

Dalam perlawanan tersebut, Manchester United berjaya menjulang piala liga buat kali ke-19.

Encik Tarmizi merupakan pemenang pertandingan mingguan 'Tiger Passport to the Premier' anjuran saluran SingTel mio Stadium.

Selain tiket ke perlawanan tersebut, beliau juga memenangi tiket penerbangan, penginapan dan elaun untuk dua orang.

Oleh itu, beliau memutuskan membawa abang iparnya, Encik Muhammad Shahreen Tajri, 26 tahun, ke Manchester dari 21 hingga 24 Mei lalu.

Namun, ironinya, Encik Shahreen bukanlah peminat Manchester United! Sebaliknya, beliau peminat Manchester City - pesaing terdekat Manchester United.

'Pengalaman ini amat menyeronokkan kerana bayangkanlah perbezaan minat boleh menimbulkan tengkarah dalam kalangan peminat, lebih-lebih lagi terdapat dua kelab - Manchester United dan Manchester City - dalam satu bandar.

'Kalau anda sokong Geylang United dan pergi ke stadium Tampines Rovers, orang tidak akan mengutuk.

'Di sini, peminat kededua kelab saling mengutuk. Kita tak akan dapat lihat hal sebegini di Singapura,' kongsi Encik Tarmizi, yang meminati Manchester United sejak 19 tahun lalu.

Menurutnya lagi, abang iparnya itu angkat kaki semasa Manchester United meraikan kemenangan, dan menunggu di luar stadium Old Trafford - yang menampung lebih 75,000 penyokong pada hari tersebut.

Namun, berbaloi juga Encik Shahreen mengikuti lawatan itu kerana beliau sempat menyaksikan perarakan pasukan Manchester City yang kebetulan diadakan sehari selepas perlawanan akhir antara Manchester United dengan Blackpool itu.

'Walaupun tidak dapat menyaksikan pasukan kegemaran saya beraksi di padang bola, lambaian tangan mereka semasa berdiri di atas bas tanpa bumbung cukup memadai,' ujar jurutera projek itu yang baru menimang cahaya mata.

Kisah keluarga ini semakin menarik apabila sepupu Encik Tarmizi, Encik Mohammad Yazid Zakaria, yang tinggal di Kuala Lumpur, turut memenangi tiket ke perlawanan yang sama!

Ketika dihubungi, mahasiswa berumur 19 tahun itu berkongsi cerita bahawa beliau menyertai satu peraduan anjuran Telekom Malaysia yang menawarkan dua keping tiket untuk menonton perlawanan tersebut.

Encik Yazid membawa adik Encik Tarmizi, Encik Muhammad Ariffin, 21 tahun, ke Manchester.

'Pengalaman berada di stadium Old Trafford sangat indah kerana impian saya melihat pasukan yang saya sokong sejak 1999, iaitu ketika saya berumur tujuh tahun, tercapai,' ujar Encik Yazid.

Namun, berbanding Encik Tarmizi yang bebas menyarung jersi kegemarannya, pengalaman Encik Yazid tercalar kekecewaan gara-gara diberi tempat duduk kawasan VIP.

Menurutnya, beliau tidak dibenarkan memakai jersi atau skarf pasukan. Bahkan, beliau dikehendaki mengenakan pakaian formal.

Selain itu, hanya suaranya sahaja yang kedengaran menyanyikan lagu-lagu Manchester United di kawasan tersebut.

'Saya juga disuruh duduk apabila saya berdiri untuk menyanyikan lagu Stand Up for the Champions.

'Saya rasa malu sedikit ketika itu kerana saya seorang sahaja yang berdiri di kawasan itu,' ujar Encik Yazid.

Bagi Encik Ariffin pula pengalaman melihat dan memasuki stadium 'Theatre of Dreams' itu memang tiada taranya.

Meskipun ini merupakan kali pertama mengunjungi Eropah, Encik Ariffin tidak gentar dan menganggapnya satu pengembaraan yang menyeronokkan.

'Stadium Old Trafford mempesonakan dan tiada bandingannya.

'Stadium Bukit Jalil di Shah Alam pun tidak boleh menandingi kemegahan Old Trafford, apatah lagi stadium-stadium di Singapura,' tawa Encik Ariffin.

Nota: Nurul 'Ain seorang penulis sambilan dan sedang mengikuti kursus Komunikasi Massa secara sambilan yang ditawarkan Universiti RMIT, Australia, menerusi SIM Global Education.

No comments: